Monday, May 13, 2013

'Kito monang' Karnival Voktek 10s Zon Johor 2013

Monday, May 13, 2013
Meraikan kejayaan muncul johan Karnival Voktek kali ke-2 
Kejohanan Ragbi Voctech 10s 2013 (Intertech) telah berlangsung di SM Sains Johor dan High School Kluang pada 26-27 April 2013. Kluang Rugby Club menerusi wakil mereka, En Bandot telah menjadi tulang belakang dalam menjayakan kejohanan kali ini. Pasukan TR telah diletakkan di dalam kumpulan B bersama pasukan KV Batu Pahat dan TiJB. Berikut merupakan keputusan melibatkan pasukan TR :

Hari Pertama :

TR vs KV Batu Pahat Menang 51-5 
Seingat saya, ini merupakan rekod jaringan terbesar bagi kejohanan ini semenjak penganjuran kali pertama pada tahun 2007 dan secara pasti, jumlah skor ini merupakan rekod jaringan terbesar untuk pasukan TR sepanjang penyertaan ke kejohanan ini. Sejumlah 9 try telah berjaya dihasilkan dengan 3 convertion kick berjaya disempurnakan. Suatu permulaan yang baik untuk pasukan.

TR vs TiJB Menang 15-5
Permainan berkualiti telah ditunjukkan oleh TiJB yang memiliki barisan pemain yang jauh lebih matang dan mempunyai pencapaian lebih tinggi dalam sukan ragbi (ketika berada di sekolah lama mereka) berbanding kami. Deretan pemain mereka merupakan bekas pemain pasukan terbaik di Johor termasuk EC dan STI. Mereka mencetak jaringan terlebih dahulu pada separuh masa pertama. Mendahului 5-0 di separuh masa pertama dengan permainan yang lebih tersusun dan kebolehan mereka memenangi kebanyakan ruck nyata membimbangkan kami. Separuh masa kedua kelihatan sedikit berbeza. Intensiti permainan seakan sedikit menurun dengan pasukan TiJB kurang menguasai bola, mungkin kerana faktor kecergasan. Pemain-pemain TR segera menghidu keletihan mereka dan terus menekan mereka dan akhirnya kami berjaya mendapatkan 3 mata pertama menerusi sepakan penalti Jerry. Beberapa minit berselang, Black telah berjaya mendapatkan Try menerusi larian dari kawasan sendiri dan menewaskan beberapa orang pertahanan lawan, Convertion masuk dari Jerry dan di minit-minit akhir permainan Jerry telah menghadiahkan try ke-2 menerusi serangan daripada scrum, betul-betul dipenjuru kiri padang. Keputusan akhir, TR 15 - TiJB 5.

Pasukan pertama yang mengesahkan kedudukan untuk saingan separuh akhir dan satu-satunya pasukan yang menghabiskan saingan peringkat kumpulan pada hari pertama kejohanan.

Hari Kedua :

Semi : TR vs KV Muar Menang 17-0
Ketiadaan perlawanan di sebelah pagi memberikan kami sedikit kelebihan berbanding pasukan lawan yang terpaksa bermain dua kali pada sesi pagi untuk melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan. Kesempatan terhidang segera digunakan sebaik mungkin oleh Black untuk mencetak try pertama dengan melakukan larian baik menewaskan beberapa orang pemain lawan di awal-awal permainan. Kian selesa di separuh masa pertama dengan tambahan 2 try lagi. Walaupun selesa dengan 3 try, namun permainan di separuh masa kedua agak kelam kabut. Pemain-pemain kelihatan gagal untuk mengekalkan fokus untuk baki permainan dan menyaksikan KV Muar lebih banyak melakukan asakan. Pemerhatian saya menerusi 3 perlawanan ini mendapati bahawa mereka belum lagi bermain dengan keupayaan sebenar mereka. Sesuatu harus diperkatakan dan diperbetulkan untuk mengembalikan mereka kepada keupayaan sebenar.

Final : TR vs TiJB Menang 27-0
Ulangan pertemuan semalam, sekali lagi bertemu Pasukan TiJB seperti yang kami jangka. Terdahulu TiJB telah berjaya menewaskan KV Segamat menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat dengan keputusan seri 5-5 (Kalau tidak silap) sepanjang waktu permainan dan masa tambahan. Secara peribadi saya merasakan permainan TiJB sedikit merosot berbanding sebelum ini. Antaranya kerana faktor keletihan, kecederaan dan mungkin mereka masih mengingati kekalahan semalam. Pasukan TR masuk padang dengan semangat yang optimum, Jerry diingatkan untuk segera mendapatkan mata (walaupun 3 mata) untuk mematikan semangat mereka. Dan Jerry akhirnya mencatat jaringan pertama menerusi sepakan drop goal (3-0). Terus mengasak dan akhirnya berjaya menjaringkan 4 try : 2 menerusi Black dan 2 menerusi Panjang. TR bermain dengan kekuatan sepenuhnya petang ini dan mereka berhak untuk menjadi JOHAN.

Pasukan yang kerap saya labelkan sebagai 'the magician' ini kembali membawa pulang piala kebanggaan ke KV Tanjung Puteri dan berpeluang untuk mewakili Johor buat kali kedua.

Aksi separuh akhir menentang Pasukan KV Muar
Pertemuan kedua menentang TiJB di final Voktek

0 comments:

Post a Comment

 
◄Design by Pocket Distributed by Deluxe Templates