Gaya Liverpool tapi hati tetap ULTRAS MALAYA! Terima Kasih Fahrurrazi Puji untuk foto menarik ini |
Pertembungan antara The Reds dan Malaysia yang berlangsung petang tadi dengan keputusan akhir, Liverpool menang 6-3. Masuk seminggu berehat dari mengadakan latihan ragbi di padang atas ekoran kesibukan tugas-tugas lain disamping menghabiskan sedikit masa bersama keluarga membolehkan saya menonton perlawanan petang tadi dengan penuh minat. Sememangnya saya sentiasa berusaha untuk memastikan saya dapat menonton perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan. Senario terkini juga jelas memberi tanda bahawa sukan bolasepak kembali menjadi suatu fenomena dan sedang dibarisi oleh watak-watak terbaik dari seluruh pelusuk negara. Muncul satu-satunya negara dari Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri hingga ke peringkat kumpulan pusingan ke-3 (Zon Asia) kelayakan Sukan Olimpik 2012, mungkin membawa pengertian yang lebih besar - Malaysia mungkin memiliki sejumlah pemain muda terbaik di Asia Tenggara.
Kekalahan 6-3 di tangan pasukan gergasi - memiliki sejarah yang cukup hebat di Liga Perdana Inggeris dan Peringkat Eropah, dibarisi pemain-pemain terbaik dari seluruh dunia dan mempunyai reputasi hebat seantero dunia - The Reds merupakan suatu kekalahan yang saya boleh sifatkan - hanya kekalahan dari segi angka dan bukanlah suatu kekalahan mutlak. Sesuatu pasukan yang sedang dibentuk untuk sesuatu kejohanan sudah tentunya perlu mengasah kemampuan mereka menerusi perlawanan ujian atau perlawanan persahabatan. Bagi pasukan yang ingin melonjakkan keyakinan dan motivasi pemain, menentang pasukan yang lebih lemah dan hampir pasti akan mencatatkan keputusan menang adalah pilihan terbaik. Tetapi bagi pasukan yang sudah memiliki mentaliti yang baik, sudah tentu perlawanan menentang pasukan yang lebih baik adalah pilihan yang terbaik. Mentaliti yang baik menyebabkan pemain-pemain dapat memahami dengan positif hasil sesuatu perlawanan walaupun berakhir dengan keputusan - kalah!..
Rajagopal seperti biasa sentiasa konsisten dalam memberikan sentuhan terbaiknya, menerusi idea dan taktikal perlawanan dan menggunakan kelebihan sedia ada pemain untuk mencorakkan permainan keseluruhan pasukan. Rajagopal yang telah bersama pemain-pemain untuk satu jangka masa yang agak lama, atau memantau pemain-pemain untuk tempoh yang agak panjang sudah tentu mempunyai jangkaan terhadap individu yang akhirnya memberi jangkaan kepada pasukan. Dengan fokus kepada memberikan persembahan terbaik - memenuhi jangkaan secara individual dan sepasukan, berbanding memikirkan soal menang atau kalah, Pasukan Malaysia berjaya mengekang dengan baik Pasukan The Reds 'kelas dua' untuk separuh masa yang pertama. Lebih mengejutkan apabila Kapten Malaysia, Mohd Safiq Rahim berjaya merobek gawang Liverpool menerusi sepakan percuma yang cantik. Jaringan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama Sebelum giliran Safee Sali menunjukkan ketajamannya pada separuh masa kedua dengan meledak 2 gol - menjadikan sejumlah 3 gol yang berjaya dijaringkan ke atas Liverpool.
Secara peribadi saya melihat banyak perkara yang positif menerusi perlawanan ini. Mungkin boleh dikatakan perlawanan persahabatan paling kompetetif melibatkan pasukan kebangsaan dengan wakil Liga Perdana Inggeris dan sudah tentu mempersiapkan diri pemain-pemain kebangsaan untuk berhadapan cabaran dari Singapura. Kami pendokong anda sudah tentu sentiasa menyokong anda dan berdoa Malaysia sentiasa mempamerkan permainan terbaik dan hasilnya mencatatkan kemenangan. Apapun - kami bangga dengan anda HARIMAU MALAYA dan selamat berjuang..
Lautan merah memenuhi segenap ruang di Stadium Bukit Jalil malam ini |
"If you're ashamed to stand by your colours, you had better seek another flag". |
Comments
Post a Comment