|
Final KAT edisi 2011
Tanjung Rhinos berjersi hitam menentang Vsmat berjersi biru |
Final pertama buat Tanjung Rhinos dan dijadualkan menentang SMV Segamat, satu pasukan yang sangat konsisten dengan rekod yang sangat baik. Johan untuk edisi 2007 dan 2008, ketiga untuk edisi 2009 dan naib johan untuk edisi 2010. Tanjung Rhinos akan cuba beraksi sebaik mungkin pada petang ini dengan dianggap sebagai pasukan bukan pilihan. Mengekalkan barisan pemain utama yang sama dengan Afizi kembali diturunkan untuk menguatkan barisan 'forward' nyata menyuntik semangat pemain-pemain untuk beraksi di pentas akhir dengan memberikan segala yang terbaik.
Perlawanan bermula sangat baik dengan Tanjung Rhinos banyak menguasai bola dengan serangan dilakukan dari bahagian kiri dan kanan padang. Selepas beberapa serangan, akhirnya Fakar berjaya memberikan 'try' yang pertama di sudut sebelah kiri padang. Kedudukan 5-0 tidak kekal lama apabila Adib segera memberikan 'try' yang kedua hasil gerakan solo yang sangat menarik menewaskan 4 orang pemain lawan yang kurang bersedia selepas mendapatkan 'penalty kick'. Tamat separuh masa pertama dengan kedudukan 10-0.
Permainan bersambung di separuh masa yang kedua dan Norazli Amir segera mempamerkan sentuhan terbaik apabila berjaya melepasi halangan beberapa pemain sebelum di 'tackle' di bahagian atas atau 'high tackle' 1 meter daripada kawasan try dan pengadil menghadiahkan 'penalty try' yang berjaya disempurnakan oleh Afizi menjadikan kedudukan 17-0. Kedudukan selesa itu kian terancam apabila Tanjung Rhinos kehilangan khidmat pemain forward, Azwanis yang menerima kad merah akibat 'tackle' yang tidak sah. Keadaan bertambah buruk apabila Nazirul turut menerima kad kuning dan menerima 'sin bin' untuk 2 minit.
Beraksi dengan 8 orang pemain, menyukarkan kami untuk mengekalkan 'ball possesion' dan menyaksikan pasukan lawan berjaya menjaringkan 'try' demi 'try' sebelum akhirnya perlawanan dengan masa sebenar tamat dengan jumlah mata 17-17. Permainan bersambung ke masa tambahan 5 minit dengan Tanjung Rhinos kian diasak hebat terutama daripada 'stand off' mereka, Bomba. Tanjung Rhinos mengerah keringat dengan memberikan yang terbaik untuk sentiasa bertahan, bertahan dan bertahan. Kedudukan mata kekal sehingga tamat 5 minit masa tambahan.
Perlawanan terpaksa diteruskan dengan penentuan sepakan penalty dengan pasukan SMV Segamat melakukan sepakan yng pertama. Debaran kian memuncak dan ternyata, mereka gagal mendapatkan skor untuk sepakan yang pertama. Giliran Tanjung Rhinos menerusi sepakan Fakar untuk mendapatkan mata yang pertama dan beliau turut gagal melakukannya. Sepakan kedua dari kedua-dua pasukan masuk, dengan Arif mengambil sepakan. Kedudukan skor 1-1 sebelum akhirnya Afizi mengambil kesempatan melakukan sepakan penalty sempurna selepas lawan gagal berbuat demikian. Keputusan akhir, Tanjung Rhinos menang menerusi sepakan penalty 2-1 selepas terikat 17-17 pada masa sebenar. Tahniah Tanjung Rhinos.
Alhamdulillah, muncul johan buat kali pertama. Terus mara Tanjung Rhinos. Kuantan akan menjadi gelanggang yang seterusnya untuk kita beraksi. Hidup Tanjung Rhinos!!
Comments
Post a Comment