21 April 2011, Khamis. Seminggu sebelum KAT Segamat bermula, Tanjung Rhinos telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pasukan Teknik JB yang juga akan turut serta dalam Kejohanan Ragbi KAT yang bakal berlangsung 28-30 April 2011 nanti di SM Vokasional Segamat. Teknik JB sebelum itu telah mengadakan perlawanan persahabatan dalam sukan lain dengan SM Vokasional Tanjung Puteri termasuk bola sepak dan sofbol dan disusuli dengan perlawanan persahabatan ragbi. Tanjung Rhinos menzahirkan harapan menggunung mereka dalam KAT edisi kali ini dengan sasaran mampu menjadi johan kejohanan KAT buat kali yang pertama semenjak mula mengambil bahagian pada tahun 2007. Diundi bersama SM Vokasional Muar (seeded), SM Vokasional Batu Pahat dan SM Teknik Perdagangan di dalam kumpulan A, kami cuba untuk melakukan persiapan dengan kadar paling baik untuk memenuhi aspirasi menggunung kami. Tetapi kami sedar, kejohanan yang kami akan sertai ini nanti bakal menyajikan seribu cabaran dan tentangan, dalam perkataan lain, pasti tidak akan ada kemenangan yang bakal dikecapi dengan mudah.
Pasukan Teknik JB telah mengejutkan Tanjung Rhinos pada KAT edisi tahun 2010 di dalam saingan peringkat kumpulan dan menyebabkan Tanjung Rhinos tercicir daripada saingan dan tidak layak beraksi diperingkat semi final. Kedatangan Teknik JB pada petang ini menunjukkan komitmen mereka untuk sekali lagi menjadi pencabar utama dan cuba mengulangi pencapaian, tempat ketiga seperti tahun lepas. Perlawanan pada petang ini menampilkan beberapa muka baru dikalangan pelajar tingkatan 4 yang kami rasakan sudah sampai masanya untuk mereka mula didedahkan sebelum bersedia menggalas tugas di dalam perlawanan yang lebih kompetetif. Perlawanan 3 set pada petang ini dikuasai sepenuhnya oleh Tanjung Rhinos kecuali pada set yang kedua, yang menampilkan ramai muka-muka baru. Namun, Teknik JB tetap memberikan saingan yang sengit dan banyak kali menerbitkan rasa cemas pada Tanjung Rhinos.
Sedikit penambahbaikkan terutama dari aspek taktikal akan diberi penekanan dalam tempoh beberapa hari ini sebagai persiapan terakhir. Selain akan turut cuba memajukan diri dalam aspek kecergasan dan Kreativiti. Kami perlu bermain dengan satu idea yang kami boleh persetujui bersama, memerlukan kawalan general di atas padang dan memiliki semangat juang yang tidak pernah kunjung padam. Insyaallah, kami akan berjaya di Segamat nanti. Terima kasih akhirnya atas kesudian Teknik JB datang ke halaman kami. Perlawanan yang cukup bermakna untuk membantu kami melonjakkan pencapaian kami. Semoga bertemu lagi di halaman SM Vokasional Segamat nanti. Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan. Buat Tanjung Rhinos, semoga tempoh beberapa hari ini kita mampu bekerja lebih keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang kita miliki. Jumpa nanti di Segamat dalam laporan-laporan selepas ini.
Comments
Post a Comment