|
Hari terakhir di SMV Arau dan mudah-mudahan kami akan terus dijemput pada masa-masa akan datang |
Ahad 30 Jan 2011, Hari terakhir kami di SMV Arau, Perlis. Pagi ini kami bersiap awal seperti biasa. Mengerjakan solat subuh, menikmati sarapan di kantin dan terus bersiap ke padang. Perlawanan pertama pada pagi ini adalah menentang pasukan SEMSAH untuk penentuan cup-plate yang dijadualkan akan berlangsung pada lebih kurang jam 9 pagi. Beberapa orang pemain mengalami kecederaan kecil termasuk stand off kita yang terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik malam tadi. Dengan hanya tinggal seorang pemain di bangku simpanan, keadaan tampak sukar. Dan akhirnya, Tanjung Rhinos gagal dengan jaringan 0-21 di tangan SEMSAH. Perlawanan seterusnya, suku akhir plate menemukan Tanjung Rhinos dengan SMK King Edwards VII. Dan Tanjung Rhinos ditunjukkan jalan keluar dengan kekalahan 0-21. Berakhirlah perjuangan Tanjung Rhinos di Perlis.
Disebalik kekalahan hari ini, banyak perkara positif yang kita dapat lakarkan sepanjang beberapa hari berkampung di SMV Arau ini. Pemain-pemain dapat membina keyakinan diri dan cuba bermain dengan lebih baik dan sememangnya permainan mereka meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain. Tanjung Rhinos sedang belajar untuk mengenal erti kematangan. Kita gagal membawa sebarang kejayaan dari sini, tetapi kita mampu mencapai objektif kita iaitu bersaing dengan pasukan-pasukan handalan dari seluruh pelusuk tanahair. Saya yakin kita akan mencetak keputusan yang lebih baik di kejohanan-kejohanan lain yang kita akan sertai jika pemain berterusan berusaha dan berusaha.
Comments
Post a Comment